Saturday, February 12, 2011

Agama

Bismillahhirrahmanirrahim

Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah Azzawajalla dengan limpah rahmat kurniaan dari Nya telah mengizinkan kita meneruskan kehidupan seharian dengan harapan moga- moga hari ini lebih baik dari semalam dan semoga esok adalah terlebih baik dari hari ini, begitulah untuk kesekian kalinya.

Selawat dan salam ke atas junjungan mulia lagi terpuji Nabi Muhammad Rasulullah sallallahhuaalaihiwasallam yang Ummi, juga untuk para ahli keluarga Baginda, seterusnya para sahabat yang sama sama berjuang mengorbankan segala harta benda dan nyawa demi mempertahankan Agama Allah yang di bawa oleh oleh RasulNya, agama yang benar lagi tiada tolok bandingnya.

Sesungguhnya rahmat kasih sayang Allah subhanahu wata’ala Mahaluas lagi Mahameliputi atas makhlukNya. Sehinggakan tiada suatu pun yang dapat dinafikan , segalanya adalah kurniaanNya
.
Firman Allah:-
Allah jualah yang menciptakan langit dan bumi (dengan segala keindahannya).
Al Baqarah 117 / Al an’am 101.

Sedari penglihatan , yang kita melihat darinya , pendengaran yang kita mendengar darinya, serta berbagai bagai lagi nikmat zahiriah yang kita mendapat faedahnya.

Kita tidak pernah tahu akan dilahirkan dari keluarga yang beragama Islam serta beriman kepada Allah dengan sebenar benarnya. Begitupun jua mereka yang sebaliknya, tidak tahu dan tidak minta keadaan waktu dilahirkan sebelum dilahirkan. Kita dan mereka tidak tahu keadaan sebelum ada sehingga kita dizahirkan, kerana semuanya itu adalah dalam ilmu Allah yang tidak tercapaikan.

Firman Allah :-
“Dialah yang menjadikan segala apa yang dikehendakinya. Di alam semesta ini, tiada sesuatu melainkan dengan kekuasaan dan kehendak Allah Ta’ala”
Al Buruj : 16

firmanNya lagi:-
“sungguh kami telah mencipta manusia dalam bentuk yang sangat indah,tegap dan tampan.”
At Tiin : 4.

Seterusnya firman Allah:-
“bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (menjadikan) semua makhluk yang di alam ini. Bacalah dan pelajarilah semua kejadian itu dengan tuntunan Tuhanmu, yang telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmu yang Termulia yang Mahapemurah. Yang mengajar manusia dengan perantaraan kalam (tulisan). Mengajar manusia segala apa yang tidak (belum) diketahuinya.”.  Surah Al Alaq (Iqra’)

Demikianlah rahmat kasih sayang Allah pada hambaNya, dilahirkan, dibesarkan dalam suasana keimanan lantas apakah selepas itu disia siakan ???
Bersyukurlah atas nikmat yang tidak ternilai ini, kerana sesungguhnya mensyukuri nikmat Allah Azzawajalla mudah lagi mendamaikan, benar ianya amat-amat menenangkan seluruh kehidupan.

Zahirkan kesyukuran itu dengan mengenaliNya sungguh sungguh melalui Al Quran dan al hadis yang pasti dan ternyata adalah merupakan sumber ilmu dan maklumat yang benar yang tidak dapat disanggah walau sekecil mana pun oleh sepandai pandai manusia. Sesiapa sahaja pasti akan mengakuinya. Dalami, terokai dan telusuri sedaya yang mampu, raihlah kurniaan ruang, peluang dan kekuatan yang di beriNya pada kita.
Ada insan yang tidak diberi walau sekecil pun peluang namun kita terlalu luas dan tak terbayangkan. Ya Allah sesungguhnya Engkau Mahatahu akan keperluan ku, kusyukuri nikmat Mu itu namun ampuni ku atas keadaan ku yang penuh kejahilan dan kelalaian dari mengingati Mu.

Demi mensyukuri nikmat ini maka semestinya kita menelusuri dan mencontohi Rasulullah s.a.w serta para sahabat Baginda. Rasulullah s.a.w adalah sebaik-baik contoh ikutan dan tiada insan lain yang sedemikian rupa. Baginda mempunyai akhlak keperibadian yang amat terpuji sehinggakan Allah Azzawajalla mengiktiraf sebagai insan yang maksum iaitu terpelihara dari melakukan sebarang dosa walau sekecil mana pun. Selain dari  Baginda s.a.w pasti ada salah dan silap walau setinggi mana pun darjatnya.

Firman Allah:-
“sesungguhnya engkau (Muhammad) benar-benar mempunyai akhlak yang sangat agung.” Al Qalam : 4.

Jelasnya di sini manusia yang sebaik-baiknya dijadikan contoh ikutan sama ada dalam hal pergaulan, berkeluarga, bermasyarakat, ibadah dan akidah adalah tidak lain hanyalah Baginda Rasulullah s.a.w.

Hal-hal berkaitan ibadah serta akidah tiada lain yang dapat dijadikan sumber rujukan melainkan kepada Rasulullah s.a.w. yang bersama Baginda adalah Al Quran dan Assunnah. Mentaati Rasulullah s.a.w. adalah tuntutan agama dan tidak sempurna iman seseorang andainya diabaikan.

Firman Allah:-
“ wahai orang-orang yang beriman taatlah kepada Allah dan taatlah kepada RasulNya dan janganlah kamu merosakkan (pahala) amal-amal kamu.” Muhammad : 33.

Ibnu katsier dalam tafsirnya mengatakan mentaati Allah tidak akan sempurna jika tidak mentaati RasulNya, dan segala amalan akan binasa jika kita  meninggalkan kedua-duanya atau salah satu dari yang tersebut.


Dari dalil tersebut dapatlah difahami bahawa selepas Allah maka yang sepatutnya ditaati adalah Rasulullah s.a.w. Segala bentuk kecurigaan atau penghinaan kepada Rasulullah akan mengakibatkan segala amalan yang dilakukan akan rosak binasa.
Mungkin ramai akan menafikan yang ianya mencurigai Rasulullah atau menghina Baginda namun jika diteliti dalam banyak hal kehidupan umat islam telah banyak membelakangkan sunnah Baginda dan lebih berani ramai yang mengubah, menokok tambah dan mengamalkan sesuatu yang terbalik dari apa yang disuruh oleh RasulNya.

Terlalu banyak contoh amalan yang umat islam mutakhir ini lakukan yang menyimpang jauh dari apa yang dilakukan oleh Rasul dan para sahabat. Tidakkah ini disifatkan sebagai menghina atau memperlekehkan Nabi Muhammad Rasulullah s.a.w.? sehinggakan ada yang sanggup berbohong mengunakan nama Rasulullah !
Iaitu dengan mengatakan ini dan itu datangnya dari Baginda, walhal tidak terbukti pun kenyataan itu benar. Mungkin dikutip dari hadis-hadis palsu untuk kepentingan peribadi atau kumpulan tertentu.

Terimalah kenyataannya bahawa kita sepatutnya mula mengkaji dengan teliti kesemua maklumat yang ada selama ini atau meneroka kesahihan apa-apa yang kita telah amalkan selama ini, adakah amalan kita selama ini sahih dan bertepatan sepertimana yang dianjurkan oleh Allah dan RasulNya. Andainya telah dikaji dengan merujuk Al Quran dan Al Hadis serta kupasan Ulamak-ulamak muktabar maka buatlah keputusan walaupun ianya pahit untuk diakui kerana ingatlah kebenaran tetap kebenaran jangan keegoan dipertahankan. Kebenaran adalah untuk diri sendiri bila berhadapan Allah Rabbul’alamin nanti.

Lapangkanlah dada serta bukalah minda dan terimalah hakikat kebenaran meskipun segala amalan kita selama ini diwarisi dari nenek moyang atau golongan terdahulu yang sudah pastinya bukan tulen dari Rasulullah s.a.w. Sepatutnya golongan terdahulu adalah NabiNya, para sahabat dan tab’in yang diakui seluruh para ulama akan kebenaran mereka.

Mengapakah terlalu sukar dan payah untuk menerima kenyataan dan kebenaran yang datangnya dari Rasulullah serta para sahabat? Dan mengapa terlalu mudah menerima sesuatu yang datangnya dari ustaz-ustaz tertentu tanpa ada walau satu dalil pun sama ada dari Al Quran dan Al Hadis? Adakah berdosa kalau mempersoalkan seseorang ustaz demi mendapatkan kebenaran? Dan setelah kebenaran terjelas dengan dalil-dalil dari Al Quran dan Sunnah maka terimalah ianya tanpa keraguan walau sedikit pun. Hanya keterangan dari Rasulullah s.a.w. sahaja yang tak dapat disangkal dan sesiapa yang menyangkalnya maka akan binasalah imannya.

Persoalannya sekarang, dapatkah anda menerima sesuatu maklumat atau ilmu untuk diamalkan sekiranya ilmu tersebut adalah baru pada pandangan anda namun ianya lengkap dengan dalil-dalil yang kukuh dan sahih serta terbukti akan kebenarannya?
Dapatkah anda terima dengan penuh keyakinan tanpa sebarang keraguan sedikit pun?
Sekiranya jawapannya tidak, mengapa dan kenapa? Anda inginkan kebenaran, maka kebenaran itu di depan mata anda sekarang! Kebenaran yang takkan dapat dinafikan.

Tauhid – kepentingan dan tuntutan Agama.(akidah/iktiqad)

Secara dasarnya Tauhid menuntut pengEsaan terhadap Allah, Rabb yang Maha Agung yang tiada tandingan dan tiada bandingannya. Namun mengEsakan Nya tak semudah diucapkan, ianya perlu kepada maklumat yang benar dari sumber yang benar. Maklumat yang diterima diproses dan dicerna dalam hati insan melalui ketajaman akal fikiran anugerah kurniaan Nya.

Memahami hal-hal ketauhidan adalah tuntutan utama bagi insan yang menginginkan kehidupannya selamat dunia dan akhirat, melalui Al Quran dan Hadis telah nyata yang ianya suatu perkara yang amat besar. Ancaman dan peringatan perlu diambil berat oleh setiap muslim. Andai solat itu tiang Agama, maka akidah adalah tapaknya. Mana mungkin dapat ditegakkan tiang jika tiada tapak tempat letak tiang tersebut.

Setiap insan yang tak memahami tauhid sudah pasti akan mensyirikkanAllah, menyekutukan Allah dengan berbagai cara sama ada terang atau kabur, besar atau kecil, nyata atau secara tersembunyi. Yang mana ianya akan merosakkan segala amalan dan mendatangkan kemurkaan Allah s.w.t.

Firman Allah :-
“Bahawasanya, sesiapa  yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya syurga dan tempat kembalinya ialah ke neraka”. Surah al Ma’idah ayat 72.

FirmanNya lagi:-
“ Bahawa sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa seseorang yang syirik kepadaNya dan Allah akan mengampunkan kepada sesiapa yang Dia kehendaki iaitu selain dari dosa syirik. Barang siapa yang mempersekutukan Allah, maka sungguh ia telah berbuat dosa yang besar”. Surah an Nisa’ ayat 48.

Jelaslah di sini bahawa akidah bukan sesuatu yang boleh diambil mudah secara sambil lewa atau sekadar ambil tahu sikit-sikit sahaja. Tetapi ianya teramat besar sehinggakan Allah tidak akan mengampuni mereka-mereka yang syirik pada Nya. Sesungguhnya keampunan dari Allah adalah amat-amat diharapkan dan jika tidak, maknanya kita dalam kecelakaan yang amat dasyat sekali.

Keutamaan dalam tauhid atau menyingkap persoalan akidah, perkara utama adalah perlunya mengenali Rabb iaitu Allah melalui kalimah La ila ha il lallah. Suatu kalimah yang agung yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. kepada seluruh umat manusia tak mengira bangsa dan warna kulit. Telusuri dan kajilah akan tuntutannya selaras dengan kehendak Allah dan RasulNya, melalui Al Quran dan Sunnah serta kupasan para ulamak muktabar yang diperakui oleh seluruh dunia. Ianya perlu didapati atau dipelajari dari seorang guru yang sebenar-benarnya mendalami hal-hal ketauhidan, bukan dari sembarangan orang. Tulisan ini bukan mengupas keseluruhan hal tauhid tetapi hanya sekadar pencetus atau pemangkin kepada menyatakan akan kepentingan menguasai ilmu tauhid yang sebenar-benarnya dan tidak menganggap ilmu tauhid sebagai ilmu sampingan atau suatu yang tak penting untuk dipelajari. Jauh di sudut hati penyusun ini ingin menyatakan bahawa mengusai ilmu tauhid akan membuatkan seseorang itu penuh penghayatan terhadap keislaman. Lalu dengan itu akan membentuk peribadinya dengan akhlak yang terbaik, lemah lembut, benar, amanah, bertanggungjawab dan sebagainya seperti yang dituntut oleh agama.

Firman Allah :-
“sesungguhnya Aku adalah Allah, tidak ada Tuhan selain Aku, maka sembahlah Aku dan dirikanlah solat untuk ingat kepada Aku.” Surah Taha ayat 14.

Menurut ahli tafsir, ayat ini adalah suatu perintah dan arahan dari Allah kepada umat manusia agar sedaya upayanya mengenali Allah lalu mentauhidkanNya tanpa ada yang lain sebagai tempat pergantungan dari yang paling kecil hingga sebesa-besarnya, bahkan dalam setiap segala sesuatu dalam seluruh kehidupannya.

 Arahan dan perintahNya membawa maksud mesti dilaksanakan. Maka untuk melaksana arahan itu perlu kepada pembelajaran yang bersungguh-sungguh dan bukannya sekadar main-main yang tak kesampaian. Bila senang atau lapang barulah dilaksana, namun bila tuntutan lain lebih kuat lalu diabaikan. Perintah maksudnya adalah keutamaan dan yang lain adalah sampingan. Keutamaan kepada memahami tauhid adalah paling teratas dalam segala urusan kehidupan untuk kembali dengan selamat ke negeri akhirat yang kekal abadi.

Jangan kita mengakui telah beriman dengan hanya menguasai sedikit ilmu pengetahuan, kerana sesungguhnya orang yang beriman hanya Allah sahaja yang mengetahuinya. Sebagai manusia kita tak dapat melangkaui keadaan tersebut.

Firman Allah :-
“Di antara manusia ada yang mengatakan kami beriman kepada Allah dan hari kemudian, padahal mereka itu sesungguhnya bukan orang-orang yang beriman”.
Surah Al Baqarah ayat 8.


 layari yahayaabdullah.com/kursuskek.html
                                            /freegift.html

Himpunan pandangan, tazkirah dan sirah


PERINGATAN DARI ALLAH :-

“katakanlah: bagaimana pendapatmu jika Allah mencabut PENDENGARAN, dan PENGLIHATAN mu, serta MENUTUP HATI mu. Siapakah tuhan selain Allah yang dapat mengembalikan penglihatan, pendengaran dan hati itu kepada mu?”
Ayat 46 surah al An’am.

Ubadah bin Asshamit r.a. berkata, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Jika Allah hendak menetapkan dan menumbuhkan suatu kaum maka mereka diberi kesederhanaan dan kesopanan, sebaliknya jika Allah menghendaki musnah binasanya suatu kaum itu, dibukakan bagi mereka jalan khianat. Sehingga bila mereka bergembira dengan keadaan itu, lalu disiksa dengan mendadak sehingga mereka tercengang putus asa. Dan dibinasakan hingga akar akarnya kaum yang zalim itu. Dan segala puji dan puja hanya bagi Allah Tuhan yang memelihara seisi alam.”
Hadis shahih.

Wahai sahabat kesayanganku, aku ingin berwasiat, kembalilah kamu kepada Agama Islam dengan sebenar-benarnya berpedoman pada Al Quran dan Hadis Rasulullah s.a.w. janganlah kamu hanya menjadi pak turut kepada sesiapa pun. Ingatlah! Kita hanya boleh menjadi pak turut kepada Allah Azzawajalla dan Rasulullah s.a.w.
Peliharalah akidahmu agar tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu pun, sesungguhnya syirik tidak diampunkan oleh Allah. Pelajarilah ilmu Tauhid dengan sungguh-sungguh dari guru yang benar bersumber Al Quran dan Hadis. Akidah yang salim dan ibadah yang sahih dapat menyelamatkan mu dari kemurkaan Allah serta selamat dunia dan akhirat.

Wahai sahabat kesayanganku, tunaikanlah solat serta peliharalah ianya dengan cermat, jangan dilalaikan apatah lagi ditinggalkan. Sesungguhnya solat itu perawat kepada segala penyakit, sama ada dunia dan akhirat. Kamu akan mencapai bahagia jika memelihara solat dengan bersungguh-sungguh.

Wahai sahabatu, taatlah kepada ibu dan ayahmu, jangan biarkan mereka menitiskan air mata kecewa kerana sikap mu. Gembirakanlah hati mereka, utamakan mereka dalam segala hal. Andai kau sia-siakan pasti kamu akan menyesal setelah mereka tiada lagi, saat itu penyesalan tiada gunanya. Renunglah wajah mereka dengan penuh kasih sayang.
Ingatlah! Suatu masa nanti kamu juga akan menjadi ibu dan ayah, kamu akan rasai sepertimana mereka rasakan. Sesungguhnya balasan anak yang derhaka akan disegerakan di dunia ini manakala di akhirat berkali gandanya lagi.

Cukuplah sekadar ini, ku harapkan kau memahami wasiatku ini lalu genggamlah dengan erat, ku doakan dalam setiap sujudku agar kau dan aku dikurniakan taufik dan hidayah, cahaya petunjuk,serta keampunan Nya.
Ayuh kita mulakan dari sekarang kerana maut dan ajal kita tak pernah bertangguh, ia akan datang tanpa kita duga. Selama masa yang ada ini marilah kita kembali pada Allah, mungkin dah tak lama dah !   


 

kreatif © 2008. Design By: SkinCorner