Saturday, February 12, 2011

Himpunan pandangan, tazkirah dan sirah


PERINGATAN DARI ALLAH :-

“katakanlah: bagaimana pendapatmu jika Allah mencabut PENDENGARAN, dan PENGLIHATAN mu, serta MENUTUP HATI mu. Siapakah tuhan selain Allah yang dapat mengembalikan penglihatan, pendengaran dan hati itu kepada mu?”
Ayat 46 surah al An’am.

Ubadah bin Asshamit r.a. berkata, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Jika Allah hendak menetapkan dan menumbuhkan suatu kaum maka mereka diberi kesederhanaan dan kesopanan, sebaliknya jika Allah menghendaki musnah binasanya suatu kaum itu, dibukakan bagi mereka jalan khianat. Sehingga bila mereka bergembira dengan keadaan itu, lalu disiksa dengan mendadak sehingga mereka tercengang putus asa. Dan dibinasakan hingga akar akarnya kaum yang zalim itu. Dan segala puji dan puja hanya bagi Allah Tuhan yang memelihara seisi alam.”
Hadis shahih.

Wahai sahabat kesayanganku, aku ingin berwasiat, kembalilah kamu kepada Agama Islam dengan sebenar-benarnya berpedoman pada Al Quran dan Hadis Rasulullah s.a.w. janganlah kamu hanya menjadi pak turut kepada sesiapa pun. Ingatlah! Kita hanya boleh menjadi pak turut kepada Allah Azzawajalla dan Rasulullah s.a.w.
Peliharalah akidahmu agar tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu pun, sesungguhnya syirik tidak diampunkan oleh Allah. Pelajarilah ilmu Tauhid dengan sungguh-sungguh dari guru yang benar bersumber Al Quran dan Hadis. Akidah yang salim dan ibadah yang sahih dapat menyelamatkan mu dari kemurkaan Allah serta selamat dunia dan akhirat.

Wahai sahabat kesayanganku, tunaikanlah solat serta peliharalah ianya dengan cermat, jangan dilalaikan apatah lagi ditinggalkan. Sesungguhnya solat itu perawat kepada segala penyakit, sama ada dunia dan akhirat. Kamu akan mencapai bahagia jika memelihara solat dengan bersungguh-sungguh.

Wahai sahabatu, taatlah kepada ibu dan ayahmu, jangan biarkan mereka menitiskan air mata kecewa kerana sikap mu. Gembirakanlah hati mereka, utamakan mereka dalam segala hal. Andai kau sia-siakan pasti kamu akan menyesal setelah mereka tiada lagi, saat itu penyesalan tiada gunanya. Renunglah wajah mereka dengan penuh kasih sayang.
Ingatlah! Suatu masa nanti kamu juga akan menjadi ibu dan ayah, kamu akan rasai sepertimana mereka rasakan. Sesungguhnya balasan anak yang derhaka akan disegerakan di dunia ini manakala di akhirat berkali gandanya lagi.

Cukuplah sekadar ini, ku harapkan kau memahami wasiatku ini lalu genggamlah dengan erat, ku doakan dalam setiap sujudku agar kau dan aku dikurniakan taufik dan hidayah, cahaya petunjuk,serta keampunan Nya.
Ayuh kita mulakan dari sekarang kerana maut dan ajal kita tak pernah bertangguh, ia akan datang tanpa kita duga. Selama masa yang ada ini marilah kita kembali pada Allah, mungkin dah tak lama dah !   


0 ulasan:

Post a Comment

 

kreatif © 2008. Design By: SkinCorner