Monday, February 14, 2011

Persoalan demi persoalan

Dengan nama Allah yang Mahapemurah lagi Mahamengasihani, ucapan syukur dan puji – pujian tidak terhingga dan selayaknya hanyasanya untuk Allah Tuhan semesta alam.

“segala puji bagi Allah Tuhan yang memelihara alam semesta”
Surah al fatihah.

“segala puji bagi Allah yang menciptakan langit dan bumi, dan menjadikan berbagai kegelapan dan penerangan” surah al an’aam.

Dia telah melimpahkan rahmatNya ke sekian alam sama ada yang kelihatan atau terlindung. Sesungguhnya Dia Mahatahu lagi Mahabijaksana.
Selawat dan salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad Rasulullah s.a.w serta sekelian ahli keluarga baginda yang tercinta. Jua setinggi penghormatan pada sekelian para sahabat–sahabat baginda yang sama-sama berjuang demi menegakkan AgamaNya.

“katakanlah: wahai semua manusia , sesungguhnya aku (Muhammad) utusan Allah kepada kalian semuanya.” Al a’raaf 158.


Syukur ke hadrat Allah Tuhan yang MahaEsa kerana telah meletakkan kita semua dalam suasana keislaman dan keimanan . moga – moga keimanan yang dibekalkan akan terus meningkat dari hari ke hari. Dengan harapan yang tinggi menggunung semoga kita tidak dimatikan melainkan dalam keimanan yang bersih dengan akhir kalam kalimah Tauhid yang Agung – Insya’Allah.
Perlindungan serta pertolongan Allah sangat – sangat diharapkan di sepanjang menempuh kehidupan di dunia ini. Tanpa pertolonganNya, mana mungkin insan sekerdil kita ini dapat hidup dengan aman, tenteram lagi mendamaikan.

“Dialah yang membentuk kamu dalam rahim sebagaimana dikehendakiNya. Tiada Tuhan melainkan Dia , yang Mahaperkasa lagi Mahabijaksana.” ‘Ali Imran – 6

Allah Azzawajalla menjadikan makhlukNya dari sebelum ada hinggalah seluruh perjalanan kehidupannya hatta walau terpijak duri sekali pun semuanya adalah dalam ilmu Allah, ternyata di sini mana mungkin makhlukNya dapat mentadbir diri sendiri melainkan dengan pertolongan Allah Azzawajalla hingga ke hembusan nafas yang terakhir.

Berkata ‘Aisyah r.a (menurut riwayat ibnu mardaweh) : bertanya aku kepada Rasulullah s.a.w, alangkah seringnya engkau membaca doa ini ya Rasulullah?,Baginda menjawab :-

“ tiada hati seseorang melainkan ia berada di antara dua jari dari jari jari Tuhan, jika Dia menghendaki ditegakkanlah hati itu dan jika Dia menghendaki dicondongkannya, dicondongkanlah ia. Tidakkah mendengar firman Allah , Ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan sesudah Engkau berikan petunjuk kepada kami dan kurniakanlah kepada kami rahmat dari sisi Engkau, kerana Engkau sesungguhnya adalah Mahapemberi.”

Hadis ini menegaskan bahawa kita sebagai hambaNya tidak berupaya melainkan amat memerlukan pertolongan dari Allah. Berbekalkan kurniaan keimanan anugerahNya, kita saban waktu amat mengharapkan – harapkan belas ehsan belas kasihan dari Allah subhanahu waata’ala Tuhan yang memiliki segala KeAgungan dan Kebesaran, nikmat yang berterusan bahkan semakin meningkat dan mengalir kepada warisan keturunan.

Di sebalik harapan dan impian yang menggunung itu, sejenak kita semestinya merenung dan meneliti, menyelidiki apa yang telah kita perlakukan hingga kini sejak dari dulu. Sesekali menoleh ke belakang meskipun untuk seketika waktu agar tidak jauh ke hadapan langsung melupakan apa yang telah di tinggalkan.

Mungkin sepanjang yang ditinggalkan ada sesuatu yang perlu dikutip kerana keciciran atau tersalah lorong atau pun mungkin tersilap simpang. Sesekali tolehlah sambil memerhati dengan pandangan mata hati yang tajam. Semoga Allah memberikan hidayah dan taufikNya pada kita dengan penuh kelembutan.

Marilah kita sama – sama persoalkan pada hati kita adakah maklumat tentang Islam yang dipegang dengan penuh keyakinan yang telah sekian lama tertanam di dada adakah bertepatan sepertimana yang di kehendaki oleh Allah dan Rasullullah s.a.w. yang kemudiannya diteruskan oleh para sahabat dan seterusnya para tabi’in dan golongan selepas itu seperti mana sabda Rasullullah s.a.w. :-

“sebaik – baik manusia adalah generasiku, lalu generasi sesudah itu, kemudian generasi setelahnya, kemudian, datanglah kaum yang kesaksian salah seorang dari mereka mendahului sumpahnya dan sumpahnya mendahului kesaksiannya.”
(riwayat Bukhari dan Muslim dalam Fadhail ash shahabah.

Maka golongan di atas adalah menjadi rujukan selepas Al Quran dan Al Hadis sebagai keutamaan terpenting sebagaimana pesanan Rasullullah s.a.w :-

“sepeninggalan ku nanti aku tinggalkan dua perkara yang mana kamu tidak akan sesat buat selama – lamanya, iaitu Al Quran dan sunnahku serta sunnah para sahabatku.”
(riwayat hakim, ibnu Abbas dan Abu Hurairah)

Firman Allah :-
“maka jika kamu berselisih tentang sesuatu perkara, kembalikanlah kepada Allah dan Rasul”
(An Nisa’ : 59.)

“Dan kami turunkan kitab suci Al Quran untuk menerangkan segala sesuatu.”
(An Nahl : 89.)

Dalil- dalil di atas telah menjelaskan bahawa sumber sebenar yang perlu diteliti adalah dua sumber tersebut.
Bersama–samalah kita berlapang dada seluas–luasnya dengan minda yang terbuka secara bijaksana dengan mengenepikan apa – apa emosi seperti ketaksuban terhadap seseorang atau segolongan tertentu dengan tujuan bagi mencari kebenaran yang hakiki bagi memudahkan kita berjalan pulang kehadrat Allah yang Mahamemiliki segala–galanya.

Ini semua bukan atas dasar tidak percaya atau tidak yakin terhadap apa yang telah diamalkan selama ini namun ianya merupakan suatu ikhtiar dan usaha bagi memperkukuhkan keyakinan setelah menemui maklumat–maklumat dan bukti– bukti yang kukuh serta tidak dapat dipertikaikan lagi oleh sesiapa terutama apabila tiba di hadapan Allah kita tidak dipersalahkan kerana tidak hanya berpeluk tubuh tanpa sebarang usaha mencari kebenarannya. Seperti firman Allah :-

“Dan barangsiapa berpaling dari peringatanKu, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit, dan Kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta.”
(Thaha 123-124.)

Menurut Ibnu Abbas, orang yang membaca dan mengamalkan Al Quran tidak akan sesat di dunia dan akhirat. Bererti Al Quran itu adalah petunjuk arah atau bahan rujukan yang tak perlu di sangsikan. Sememangnya ianya tak boleh disangsikan dan sekiranya berlaku maka terkeluarlah dari islam secara mutlak, berbeza pula dengan seseorang atau golongan tertentu andainya ada kata – kata mereka yang tidak dapat kita terima atau disangsikan tidaklah akan memudaratkan walaupun orang tersebut bergelar ustaz, tok guru atau apa sahaja gelaran yang hebat pada pandangan manusia.

Antara persoalan – persoalan yang terpenting yang perlu diberikan perhatian ialah dari sudut akidah dan ibadah seharian. Sekiranya amalan atau ibadah yang diamalkan kini mempunyai unsur – unsur penambahan yang mana nampak ada kebaikannya tetapi tidak diamalkan oleh Rasullullah dan para sahabat. Kerana setiap tokok tambah itu adalah jelas ditegah oleh Baginda Rasullullah s.a.w. seperti sabdanya :-

Dari ‘Aisyah r.a. nabi s.a.w bersabda :- “barangsiapa yang mengadakan sesuatu yang baru dalam urusan kami ini(agama) yang ia bukannya daripada urusan kami maka ianya tertolak”

Sabda Rasulullah s.a.w :-
“demi Tuhan yang nyawaku di tanganNya, tiada seorang di antara kamu menjadi seorang mukmin melainkan jika keinginannya sesuai dengan apa yang kubawa.”
(rujuk tafsir Ibnu Kathir m/s 466 tafsir surah An Nisa ayat 65)

Betapa beratnya keadaan kita andainya menyimpang jauh dari apa yang dibawa oleh Baginda s.a.w.
Walaupun tokok tambah itu adalah sesuatu yang baik, namun ianya tidak pernah diamalkan oleh Rasulullah maupun para sahabat ianya tetap tidak dibenarkan dan ditolak oleh Agama, dan inilah yang disebut oleh Baginda sebagai bida’ah yang akan muncul selepas ketiadaannya, sepertimana sabdanya :-

“setiap yang baru diada – adakan itu adalah bida’ah dan setiap bida’ah adalah sesat dan setiap yang sesat tempatnya di dalam neraka” (riwayat Abu Daud, Al Tirmidzi, Ibnu Majah)

Sebagai contoh suatu amalan yang datuk nenek moyang kita amalkan dan di warisi oleh kita seperti menyapu wajah selepas memberi salam setiap selesai solat dan ianya tidak menampakkan apa yang salah pun namun kesannya amat besar.

Dari Jabir bin Sumrah, katanya :-

“kami solat di belakang Nabi s.a.w , maka sabda Baginda, kenapa orang – orang itu memberi salam sambil melambaikan tangan mereka pula, tak ubahnya bagai ekor kuda liar ! cukuplah bila seseorang itu meletakkan tangan di atas pahanya, lalu mengucapkan Assalamualaikum, assalamualaikum”.
(riwayat Nasa’i)

Contoh lain tokok tambah ialah soal niat, yang mana rata – rata ustaz, tok guru atau tokoh agama mengatakan lafaz ‘usolli’ dalam tiap waktu solat adalah sunat hukumnya. Walhal jumhur ulama mengatakan tiada satu hadis pun yang mengatakan sunat melafaskan niat, kerana niat adalah pekerjaan hati dan ianya di dalam dan tiada kaitan langsung dengan kata – kata atau lafas yang bersuara. (Rujuk fikih sunnah oleh Sayid Sabiq bab wudhuk)

Ternyata Rasulullah mengajarkan kepada para sahabat sedemikian dan para sahabat mengajarkan pula pada generasi seterusnya hingga kini namun di nusantara agak berbeza kerana ramai yang cerdik pandai menokok tambah urusan keagamaan kononnya supaya lebih hampir pada Allah, hakikatnya jauh sekali.Biar setinggi mana pun kedudukan seseorang, mereka tidak layak dan tidak mempunyai hak serta kebebasan untuk menambah atau mengubah cara–cara yang baru dalam urusan agama, kerana agama itu adalah hak mutlak Allah Azzawajalla dan RasulNya sahaja, selain daripada itu adalah tidak berhak sama sekali.

Terdapat banyak penambahan dalam hal–hal wirid dan zikir namun dalam naskah ini tidak dapat di kupas kesemuanya, naskah ini hanya sekadar mengemukakan pandangan dan mencetuskan suatu komentar. Selebihnya terserah pada para pembaca untuk terus mengkaji dan meneliti melalui pelbagai alat maklumat seperti buku–buku, kitab serta internet, terutamanya sekali kajilah Al Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w. kerana sesungguhnya tiada yang lebih hebat selain dari Al Quran yang semua sedia maklum tak dapat dipertikaikan hingga selamas–lamanya.

Firman Allah :-

“maka apakah mereka tidak memperhatikan Al Quran? Kalau kiranya Al Quran itu bukan dari sisi Allah, tentu mereka mendapatkan pertentangan yang banyak di dalamnya.”

Cuba kita perhatikan pula bab doa dalam khutbah jumaat, yang dianjurkan oleh Rasulullah ialah doa mohon keampunan bagi para umat sahaja dan bukannya doa untuk sultan atau pemimpin. Doa seperti itu ditokok tambah ketika zaman pemerintahan sultan Abdul Hamid kerajaan Uthmaniah di Turki atas dasar kepentingan politik semata mata dan bukan yang di amalkan oleh Rasulullah dan para sahabat juga tidak melakukannya. Rujuk sejarah Islam untuk lebih terperinci.

Maka seseorang yang mengaku muslim sepatutnyalah tidak menerima sesuatu atau apa–apa amalan dengan memandang kepada siapa yang berkata namun sepatutnya melihat apa yang dikatakannya adakah bersumberkan kitabullah dan assunnah yang shahih dan jelas agar kita tidak terjatuh ke dalam “iman pak turut” semata–mata.

Iman yang didasari menurut tanpa usul periksa ditakuti adalah palsu atau tersalah “jalan” dan seandainya yang diikut itu benar sekalipun ianya tetap dikategorikan sebagai ikut ikutan dan tiada kekuatan serta kurang keyakinan.
Iman yang mantap adalah mempunyai segala maklumat dari sumber yang sah dan jelas lalu tersemat di hati dengan kukuh tak dapat digoyang walau dengan apa jua serangan dan gangguan.

Ketahuilah keyakinan yang jitu tidak akan dapat tersemat kemas seandainya pegangan hanya sekadar ikut – ikutan sahaja serta ilmu tidak akan bercambah dengan pegangan yang sedemikian rupa.

Marilah kita sama-sama renungi dengan minda yang terbuka dan berlapang dada tanpa ada sekelumit perasaan keegoan.


Wallahhuaqlam

0 ulasan:

Post a Comment

 

kreatif © 2008. Design By: SkinCorner