Sunday, February 13, 2011

Antara Iblis Dan Adam


Antara iblis dan Adam

Dalam Al Quran terkandung berulang-ulang cerita Adam dan iblis yang sama-sama kita sedia maklum kedua-duanya melakukan kesalahan terhadap Allah Azzawajalla Tuhan yang Maha Mengetahui segala-galanya.

Namun pernahkah terdetik dalam hati kita mengapa hukuman terhadap Adam dan iblis yang sama-sama berdosa terhadap Allah tetapi menerima hukuman yang berbeza teramat jauh. Pernahkah anda terfikir mengapa demikian keadaannya?

Sebenarnya anda perlu mempersoalkannya dan mencari jawapannya merujuk kepada Al Quran dan Assunnah serta mengkaji hujah para Ulamak yang sebenar. Yang demikian dapat menginsafi diri sendiri dan moga-moga dikurniakan hidayah dan taufik dari Nya yang Maha Esa yang Maha Pengasih terhadap orang-orang yang inginkannya.

Iblis sebagaimana diketahui melakukan kesalahan terhadap Allah tetapi amat berbeza dari Adam dan Hawa yang juga bersalah. Ini kerana iblis melakukan dosa dengan penuh keangkuhan dan kesombongan. Buktinya dalam surah Al A‘raf ayat 12 Allah berfirman: (maksudnya) :

apakah yang menghalangmu untuk sujud ketika Aku perintahkanmu? Iblis menjawab : “ aku lebih baik daripada Adam. Engkau (wahai Tuhan) jadikan daku daripada api, sedangkan dia Engkau jadikan dari tanah”.

Jelas menunjukkan iblis amat angkuh dan sombong dengan menganggap dirinya lebih mulia lalu melanggar perintah Allah dan seolah-olah mencabar Allah yang memerintahkannya agar sujud pada Adam ketika itu. Iblis tidak taat kepada suruhan Allah Azzawajalla dengan menganggap dirinya tidak wajar mematuhi arahan Allah lantas secara tidak langsung mempertikaikan ketetapan yang ditetapkan oleh Allah terhadap dirinya. Lalu sekaligus mencabar hak Allah dalam menetapkan hukum terhadap dirinya dan Adam.

Berbeza dengan Adam dan Hawa yang mengakui kesalahan, lalu memohon keampunan serta mohon untuk kembali mendapatkan belas kasihan dari Allah Azzawajalla Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Mereka tidak angkuh dan sombong terhadap Allah, tidak pertikaikan ketetapan Allah terhadap mereka, tidak menganggap diri mereka terlalu mulia dan menginsafi kesalahan yang mereka telah lakukan kerana kecuaian dan kelemahan diri mereka sendiri.

Renungkanlah diri kita berada dalam watak siapa? Adakah iblis yang dilaknat dan kufur terhadap Allah? Moga tidak begitu.
Atau berwatak seperti Adam dan Hawa? Renung dengan hati yang ikhlas. 

Yahayaabdullah.com

0 ulasan:

Post a Comment

 

kreatif © 2008. Design By: SkinCorner